Latar Belakang

Sesungguhnya dalam perjalanan sejarah peradaban Melayu selama hampir 1500 tahun telah terbina sejumlah khazanah ilmu berbahasa Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan, pengetahuan, peralatan dan kemahiran, seperti juga peradaban yang lain. Khazanah itu mencakupi bidang ilmu pengetahuan (persuratan, tradisi lisan), pemerintahan, perundangan, perubatan (pelbagai herba, amalan perubatan tradisional), pembinaan (rumah, istana, masjid, perahu besar dll.), perdagangan, pakaian (songket, batik), pemakanan, persenjataan (keris, lembing, badik, bedil, meriam, dll.), peralatan (perumahan, pertanian, perikanan, perdagangan, peperangan, kerajaan, dll.), kesenian, permainan, hiburan, dan sebagainya. Khazanah ini melampiaskan hakikat bahawa bahasa Melayu telah menjadi wahana utama untuk menjanakan peradaban Melayu.
Namun dalam senario semasa, dengan peradaban yang terbina daripada keintelektualan yang ternukil daripada tampuk budaya asing, dapat kita saksikan amalan yang tidak akur dengan peradaban Melayu masih berlaku waima kuasa dalam genggaman bangsa Melayu. Polemik berlaku dalam pelbagai dimensi kehidupan bangsa, pemimpin muda mencaci cela pemimpin tua yang berjasa, amalan makan suap semacam pola iktisad menyara hidup mewah, peradaban bangsa merangkak lesu dan layu walaupun meriah dengan teriakan mendayu-dayu di samping pelbagai amalan budaya yang jelik dapat kita saksikan.
Di sebalik senario ini, tersirat kealpaan kita mencungkil menggali permata peradaban daripada khazanah bangsa yang terbenam di lubuk pustaka di seantero buana. Lantas bangsa Melayu mengatur pencak silat memekik melaung agar bahasa Melayu dijadikan bahasa yang bermartabat hatta di persada buana agar budaya tinggi yang mempengaruhi kehidupan mereka selama ini dapat dilestarikan. Namun kemenjadiannya masih kurang ketara. Lantas, khalayak khususnya para sarjana ketumpulan minat untuk terus mencebur idea dalam perjuangan sebegini. Justeru, gelanggang alternatif harus diteroka untuk menjadi wahana menggapai matlamat yang sama. Gelanggang alternatif baharu menampilkan bahasa sebagai warisan budaya yang berupaya untuk mengembalikan maruah peradaban Melayu sebagai mahawangsa. Semakin luas penggalian dan pengkajian terhadap khazanah warisan bangsa ini maka kian mapanlah peradaban bangsa.

Justeru, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM mengambil inisiatif menganjurkan seminar ini untuk menelusuri seluas mungkin khazanah peradaban Melayu di seluruk pelosok buana, dan mengajak masyarakat antarabangsa bukan sahaja meninjau secara retrospektif khazanah tersebut tetapi juga berusaha untuk mengemudikannya secara prospektif untuk masa depan peradaban bangsa yang lebih gemilang.